Friday, June 19, 2009

Mereka Kaum Yang Menghafal

imtihan

“Shh! Shh!” kedengaran satu suara dari belakang.

Kerusi saya ditendang-tendang perlahan.

Shoo (apa hal)?” saya menoleh ke belakang.

“Soalan nombor dua, jawapannya di muka surat berapa?” tanya seorang pelajar.

Arab.

Mahu meniru rupanya.

“Nanti saya tanya pensyarah, boleh tak bagi jawapan pada kamu” saya memberitahunya.

“Jangan, jangan, jangan!” katanya sambil membetulkan tempat duduk.

Geli hati saya dibuatnya. Tetapi macam penghormatan pula jadinya apabila ada pelajar Arab mahu meniru pelajar Malaysia. Subjeknya pula ialah Nahu Arab! Tetapi memang umumnya, pelajar Malaysia ramai yang lebih bagus berbanding dengan Arab, di dalam subjek Nahu. Biar pun mereka menuturkan Bahasa Arab itu sejak merangkak di atas lutut, tetapi kita pelajar Malaysia lebih mendalam mempelajari Nahunya, terutamanya bagi pelajar daripada Maahad atau sekolah pondok.

Tidak hairanlah apabila pelajar Arab sendiri mahu meniru pelajar Malaysia.

AJAIB

Selepas selesai menduduki peperiksaan itu, saya segera pulang ke rumah kerana lari dari kepanasan mentari padang pasir. Ada sesuatu yang masih saya fikirkan tentang pelajar Arab yang mahu meniru tadi. Bukan soal Arab meniru Melayu, tetapi pada cara dia meniru.

“Soalan nombor dua, jawapannya di muka surat berapa?” tanya beliau.

Wah, muka surat berapa? Adakah pelajar itu menghafal buku Qatrunnada yang kami guna? Lengkap dengan muka suratnya sekali?

Tetapi itulah realitinya. Tidak hairanlah melihat pelajar Arab mengulangkaji pelajaran di musim peperiksaan. Sungguh pelik dan lucu. Dengan sebuah buku di tangan, mereka berjalan mundar mandir hingga haus tanah dibuatnya. Lihat sahaja kawasan di sekitar maqam Abdullah ibn Rawahah radhiyallaahu ‘anhu. Tanah di bawah pokok pine di situ sudah botak. Haus… gara-gara mundar-mandirnya anak-anak Arab yang mengulangkaji pelajaran.

Mengapa mereka mengulangkaji begitu?

Tidak perlukah mereka kepada meja untuk mencatat dan menulis?

Sesungguhnya mereka tidak perlu kepada itu semua kerana mereka… MENGHAFAL.

Bukan menghafal al-Quran, atau matan-matan klasik, malah buku teks biasa pun dihafal mereka. Sebab itulah tatkala mereka mahu meniru, permintaannya berbunyi, “jawapannya di muka surat berapa?”

Kalau diberitahu bahawa jawapannya di muka surat sekian sekian, maka mereka akan segera menyalin segala isi yang ada di muka surat berkenaan ke kertas jawapan. Ala-ala mesin fotostat. Sudah tentu, bagi pelajar Malaysia di sisi, hatinya berdebar-debar melihat pelajar Arab di sebelahnya menulis jawapan berkajang-kajang. Terasa kerdil memandangkan kertas jawapan sendiri masih belum penuh sehelai dua.

Tetapi ketika keputusan peperiksaan keluar, biasa pula jadinya markah pelajar Malaysia setanding malah sering juga lebih tinggi daripada pelajar Arab.

“Apa ini? Mana jawapannya?” tanya seorang pensyarah.

Beliau menunjukkan kertas jawapan seorang pelajar Arab yang penuh berkajang-kajang, hingga tidak tentu mana satu jawapannya. Walhal soalan yang ditanya, hanya perlu dijawab kurang semuka.

Tersenyum saya memikirkan pengalaman yang satu itu.

ANTI HADITH

Mungkin bagi ‘kaum pelampau’ yang semberono mengkritik sistem ilmu Hadith dan sanad mereka-reka andaian tentang keabsahan nukilan legasi Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Mana mungkin kata-kata Baginda boleh dirakam oleh memori dan dipindahkan dari satu generasi ke satu generasi tanpa penambahan atau pengurangan. Mustahil.

Ya, mustahil kalau perawi itu seperti kamu!

Namun, melihatkan kepada keupayaan pelajar Arab versi kurun ke-20 yang ‘korupsi’ itu menghafal buku teks mereka hari ini, sungguhlah bahawa para sahabat dan generasi Islam yang awal itu, kekuatan mereka pada merakam pendengaran dan penglihatan di kotak ingatan pasti jauh, jauh dan jauh lebih hebat lagi. Tidak hairanlah jika kelebihan itu menjadikan mereka kaum yang terpilih untuk merekodkan Sunnah Rasulullah sallalaahu ‘alayhi wa sallam.

Seperti yang diungkapkan oleh David Samuel Margoliouth, seorang Orientalis Inggeris dari Oxford, “untuk melihat kehebatan yang ada pada Islam, tidak perlu pergi sampai ke Mekah. Cukup sekadar dilihat kepada sistem sanadnya”.

Hebat!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

ERTI HIDUP PADA MEMBERI. Saifulislam.Com mengalu-alukan sumbangan anda untuk menampung perjalanan server. Klik di sini untuk menyumbang. Terima kasih... [Abu Saif]





© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

No comments:

Guided Ways

Search in Quran
Search in Quran:
in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code
Powered by www.GuidedWays.com

Looking for Ways of Life

Search in Hadith
Search: in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code
Powered by www.GuidedWays.com