Friday, May 22, 2009

Harun ar-Rasyid dan Fudhail bin Ayyadh

Kisah menarik, buat teladan.


Suatu musim haji, khalifah Harun ar-Rasyid pergi ke Makkah untuk menunaikan haji. Fadhal bin Rabi termasuk salah seorang pengiringnya.


Suatu malam, pintu rumah Fadhal bin Rabi diketuk. Fadhal segera bertanya: "Siapakah di luar?"


"Ikutlah perintah Amirul Mukminin," jawab suara di luar.


Fadhal terkejut kerana dia kenal suara itu. Itu suara khalifah Harun ar-Rasyid. Fadhal segera membuka pintu.


"Wahai Amirul Mukminin, kenapa tidak hantar orang suruhan tuan saja yang memanggil saya. Tak payahlah tuan datang ke mari."


"Tak usahlah difikirkan itu. Sekarang batinku sedang sakit, carikan aku orang alim tempat bertanya," kata khalifah.


"Di sana ada rumah Sufyan bin Uyaynah. Marilah kita ke sana," kata Fudhal.


Mereka berdua pun segera ke rumah Sufyan. Fadhal mengetuk pintu rumahnya.


"Siapa di luar?" soal Sufyan.


"Saya bersama Amirul Mukminin. Cepat buka pintu," jawab Fadhal.


Sufyan tergesa-gesa membuka pintu. "Wahai Amirul Mukminin, jika tuan menyuruh orang memanggil saya, akan segera saya datang mengadap."


"Terangkan kepadanya apa maksud kita," kata khalifah kepada Fadhal. Fadhal pun menjelaskan maksud kedatangan mereka. Khalifah dijemput masuk lalu mereka berdua berbicara soal agama. Setelah selesai, khalifah berkata kepada Fadhal. "Tanyakan kepadanya adakah dia mempunyai hutang. Akan kubayarkan."


Setelah menyerahkan sejumlah wang kepada Sufyan, mereka beredar.


"Kata-kata sahabatmu itu tidak memuaskan hatiku. Cari orang lain," kata khalifah.


"Di sana ada rumah Abdur Razak bin Hummam," kata Fadhal.


"Baik, mari kita ke sana," balas khalifah.


Sampai di rumah Abdur Razak, Fadhal mengetuk pintu. Abdur Razak keluar dengan tergesa-gesa apabila mengetahui khalifah yang datang ke rumahnya. Seperti Sufyan, dia menjawab pertanyaan-pertanyaan khalifah dengan sebaik-baiknya. Setelah itu, khalifah memberinya sejumlah wang untuk membayar hutang-hutangnya.


"Aku belum puas hati dengan keterangan sahabatmu. Carikan yang lain," ujar khalifah setelah mereka berlalu dari situ.


"Di sana ada rumah Fudhail bin Ayyadh. Baik kita ke sana," kata Fadhal.


Apabila sampai di rumah Fudhail, Fadhal mengetuk pintu."Siapa di luar?" ujar Fudhail apabila mendengar pintu rumahnya diketuk.


"Buka pintu segera, di luar ada Amirul Mukminin!" balas Fadhal.


"Apakah perkaraku dengan Amirul Mukminin maka pintu rumahku perlu dibuka di tengah malam begini?" soal Fudhail.


"Subhanallah! Bukankah engkau wajib taat kepada Amirul Mukminin?" Fadhal menjawab dengan marah.


Fudhail membuka pintu, kemudian terus menghilang pergi ke bilik ibadahnya di tingkat atas rumah itu setelah memadamkan lampu. Dalam kegelapan itu, khalifah dan Fadhal meraba-raba mencari Fudhail. Apabila terasa tubuhnya dipegang, Fudhail mengeluh.


"Aduh, halusnya tangan yang memegang tubuhku ini. Alangkah sayangnya, jika kelak tidak terlepas daripada azab Allah."


Khalifah segera bersuara, "Katakan kepadanya maksud kedatangan kita, moga-moga Allah memberinya rahmat."


"Apakah maksud kedatangan tuan ke mari? Sudah sedarkah tuan hai Amirul Mukminin, bagaimana orang memuji menyanjungmu, mengangkat meninggikan tuan? Tetapi bila kelak di hadapan Allah, tuan dapat pertanyaan apa-apa dari hal hidup, hanya tuan seorang yang menanggungnya. Orang yang paling cinta kepada tuan, itulah kelak yang lebih dahulu melarikan diri."


"Ingatlah wahai Amirul Mukminin, suatu kejadian yang belum lama, iaitu Amirul Mukminin Umar bin Abdul Aziz ketika mula-mula memegang jawatan khalifah, dipanggilnya Salim bin Abdullah dan Muhammad bin Kaab dan Rajaa' bin Haiwah. Beliau berkata kepada mereka: 'Sekarang saya telah ditimpa bala, iaitu memangku jawatan sebagai khalifah, itulah sebabnya kalian saya panggil hendak bermesyuarat.'


"Fikirlah wahai Amirul Mukminin, dahulu Umar bin Abdul Aziz memandang khalifah itu sebagai bala bencana, dan tuan sekarang memandangnya sebagai suatu nikmat pemberian.


"Ketika itu hai Amirul Mukminin, Salim bin Abdullah berkata, 'Kalau engkau hendak lepas dari azab Allah, puasalah dari dunia dan berbukanya ialah ketika mati.' Muhammad bin Kaab pula berkata, 'Jika engkau hendak lepas daripada azab Allah, pandanglah orang yang lebih tua daripadamu sebagai ayah, yang sama umur sebagai saudara dan yang kecil sebagai anak. Hormatilah ayahmu, sayangilah saudaramu dan kasihi ana-anakmu.'


"Berkata pula Rajaa': 'Kalau engkau hendak lepas dari azab Allah, sayangilah kaum muslimin, seperti mana engkau menyayangi dirimu sendiri dan bencilah atas mereka barang yang engkau benci atas dirimu. Kalau semua itu sudah engkau jalankan, matilah bila engkau suka. Saya katakan perkataan ini, sedang hati saya sendiri sangat takut memikirkan bagaimana besarnya perkara yang engkau hadapi.'


"Hai Amirul Mukminin," kata Fudhail lagi. "Adakah orang yang berani menerangkan ini kepada tuan, sebagaimana mereka berani menerangkannya kepada Umar bin Abdul Aziz?"


Mendengar pertanyaan itu, khalifah tidak dapat menahan air mata. Dia menangis tersedu-sedu sehingga lemah sekujur tubuhnya.


Fadhal lalu berkata, "Hai Fudhail, kasihanilah Amirul Mukminin, janganlah terlalu banyak kata-katamu yang mendukacitakan hatinya."


"Hai anak si Rabi," kata Fudhail. "Yang sebenarnya membunuh Amirul Mukminin bukan saya, tetapi engkau dengan teman-temanmu. Adapun saya sendiri dengan perkataan-perkataan ini menunjukkan cinta yang suci kepadanya."


Khalifah lalu berkata, "Tambah lagi Fudhail. Tambah lagi...!"


Fudhail lalu membacakan isi surat dari Amirul Mukminin Umar bin Abdul Aziz kepada wakil sebuah wilayah yang mengadukan pekerjaannya yang berat sehingga tidak cukup rehat.


'Hai saudaraku, ingatlah olehmu bagaimana payahnya penduduk neraka, sedang badan mereka tak mahu mati. Kalau engkau ingat yang demikian itu, engkau akan tahu kelak bahawa akan kembali juga engkau kepada Tuhanmu, baik pada waktu engkau sedar, atau pada waktu engkau tertidur sekalipun. Jangan engkau kecewa dalam perjalanan ini, supaya pengharapan jangan sampai terputus daripada engkau.'


"Setelah membaca surat itu, wakil tersebut meninggalkan pekerjaannya lalu pergi mengadap Amirul Mukminin Umar Abd Aziz. Katanya, 'Terbongkar hati hamba membaca surat tuan. Sejak hari ini, hamba tidak mahu lagi memegang negeri, memikirkan beban yang terpikul di atas pundak hamba dan berat pula tanggungannya di muka Tuhan. Biarlah hamba bersinggung dengan pekerjaan negeri, sampai datang kelak hamba menemui Allah Taala.'


Mendengar cerita Fudhail itu, bertambah remuk perasaan khalifah Harun Ar-Rasyid. Air matanya semakin lebat. "Tambah sedikit lagi Fudhail!" katanya.


"Ya Amirul Mukminin, pada suatu hari datang nenekku Abbas kepada Rasulullah SAW lalu berkata, 'Wahai Rasulullah, angkatlah hamba menjadi amir suatu wilayah.'


"Rasulullah menjawab, 'Hai Abbas, nafasmu yang turun naik itu, jika engkau hitung, lebih baik daripada menjadi amir. kerana menjadi amir adalah kumpulan penyesalan dan kesusahan di hari kiamat. Kalau engkau masih boleh mengelakkan diri daripada menjadi amir, lebih baik engkau elakkan."


Khalifah Harun Ar-Rasyid terus menangis. "Tambah lagi Fudhail..." katanya.


"Hai orang yang cantik rupa, engkaulah nanti yang akan bertanggungjawab terhadap keadaan makhluk ini. Jika engkau boleh memelihara muka yang cantik ini daripada api neraka, ikhtiarkanlah. Janganlah sesekali ada perasaan benci di hati tuan terhadap rakyatmu. Kerana Nabi bersabda: 'Barangsiapa yang ada rasa benci di hatinya, tidak akan dapat menghidu asasp syurga."


Badan Harun ar-Rasyid basah dengan air mata. Akhirnya beliau berkata, "Adakah engkau berhutang hai Fudhail, supaya kubayar?"


"Ada," jawab Fudhail. "Hutangku sangat besar kepada Tuhan. Dia sendiri yang akan menghitungnya nanti."


"Maksudku hutang kepada hamba Allah."


"Tidak, lantaran Tuhanku tidak menyuruhku berhutang kepada orang lain. Yang disuruhnya hanya mempercayai janjinya, mengikut perintahnya, sebab dia pernah berfirman: 'Tidaklah kami jadikan jin dan manusia, melainkan buat menyembahku'. Tidaklah saya mengharapkan rezeki daripada mereka. Tuhanku, dialah yang memberi rezeki. Yang mempunyai kekuatan yang teguh."


"Ini, ambillah wang 1000 dinar ini. Nafkahkanlah untuk anak isterimu, atau untuk menguatkan badanmu dalam menyembah Tuhan."


"Subhanallah.... saya tunjuki tuan jalan yang lurus, lalu tuan beli saya upah dengan harta benda sebanyak ini? Ah, moga-moga Allah memberi tuan taufik!"


Fudhail pun diam, tidak ingin berbicara lagi.



Sumber : http://ummu-najah.blogspot.com/2009/04/harun-ar-rasyid-dan-fudhail-bin-ayyadh.html

2 comments:

Anonymous said...

Salam ziarah :)

terima kasih atas posting ini, mengingatkan kita tentang betapa beratnya tanggungjawab menjadi pemimpin. pernah di baca sebelum ini, tetapi tak pernah jemu membaca sekali lagi.

jazakAllah!

Amirul said...

Salam warung kampung terima kasih kerana menziarah blog.

Guided Ways

Search in Quran
Search in Quran:
in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code
Powered by www.GuidedWays.com

Looking for Ways of Life

Search in Hadith
Search: in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code
Powered by www.GuidedWays.com