Wednesday, May 6, 2009

Kuman & Virus = Jin?

Dua artikel yang perlu disemak dan direnungkan;

Artikel Pertama;

Kuman Dan Virus Adalah Jin?

Dalam tulisan seorang pensyarah USM baru-baru ini saya tukar tajuknya kepada "Jin bukan alam ghaib" mengambil kira bahawa ciptaan jin adalah dari unsur api yang terkandung padanya gas.

Gas adalah bahan atau jirim atau matter yang mempunyai berat dan jisim. Gas ada mass dan size kerana dia adalah komposisi udara. Saya tak tahulah kalau ada orang yang mengatakan bahawa oksigen, hidrogen, carbon dioxide itu sebagai perkara ghaib. Dua molekul Hidrogen jika digabungkan dengan satu molekul Oksigen akan membentuk air. Air pada suhu tinggi akan berpecah kepada molekul2 asalnya, pada suhu biasa menjadi cecair dan pada suhu beku menjadi ais. Faktur suhu merubah bentuk air.

Teori ini juga mungkin benar bagi jin, jin boleh merubah bentuknya mengikut "faktur tertentu" dan akan kekal dalam bentuk demikian sehinggalah "faktur" itu diubah.

Dua orang ulamak Islam pula mengatakan bahawa kuman dan virus adalah juga jin.

Syeikh Mohd Abduh dan muridnya Syeikh Saiyid al-Reda mengatakan bahawa jin yang begitu dikenal dalam Islam yang hidup dan bertubuh halus itu adalah kuman dan virus seperti yang dikenali dalam perubatan barat. Syeikh Saiyid al-Reda menyebutkan pandangnnya mengenai jin dalam kitab tafsirnya, al-Manar dengan katanya:

والمتكلمون يقولون: ان الجن أجسام حية خفية لا ترى, وقد قلنا في المنار غير مرة: انه يصح أن يقال: ان الاجسام الحية الخفية التى عرفت في هذا العصر بواسطة النظرات المكبرة وتسمى بالمكروبات, يصح أن يكون نوعا من الجن, وقد ثبت أنها علل لاكثر الأمراض:

Maksudnya:

“Dan ahli ilmu kalam (Tauhid) berkata, sesungguhnya jin itu adalah (kejadian Allah) yang bertubuh halus dan hidup yang tidak boleh dilihat. Sesungguhnya telah pun kita katakan berkali-kali dalam kitab Tafsir al-Manar bahawa boleh disebutkan (kejadian Allah) yang hidup, bertubuh halus yang dapat dipastikan dan dikenal di zaman ini menerusi mikroskop sebagai virus itu adalah sebenarnya sejenis jin. Dan telah diketahui secara pasti ianya adalah merupakan punca bagi kebanyakan penyakit”.

Ini meyakikann saya kenapa kedapatan ulamak yang menghalusi masalah kesihatan dan rawatan meletakan bahawa rawatan secara ruqyah adalah lebih aula berbanding rawatan allopathy, homeopathy dan lain-lain rawatan yang berasaskan kepada naqli tanpa sandaran aqli.

Ada setengah virus yang tidak boleh dibunuh walaupun suhu mencapai 10,000 darjah celcius dan hanya boleh dimatikan secara pancaran (unsur malaikat) seperti sinar gamma dalam teknik penyahkuman. Saya diberitahu adanya virus chikukungya yang menyerang-balas bagi sesiapa yang cuba membantu pesakit berkenaan.

Doa saya semuga semua guru2 dan pengamal rawatan Islam agar istiqamah dalam mendaulatkan rawatan sebegini. Begitu juga masyarakat tidak memandang serong dan remeh terhadap kaedah rawatan ini.

Sumber: http://akrine.blogspot.com/2009/04/kuman-dan-virus-adalah-jin.html

Artikel Kedua;

Jin Bukan Perkara Ghaib

Oleh Dr Muhammad Azizan Sabjan

JIN makhluk ciptaan Allah yang ditaklifkan untuk menyembah Allah dan melakukan ibadat kepada-Nya. Seperti manusia, mereka juga dikehendaki beriman dengan Nabi Muhammad SAW dan melaksanakan segala ajaran Islam.

Tegasnya, mereka hanyalah makhluk ciptaan Allah yang mempunyai kelemahan seperti manusia. Sememangnya jin wujud dan mempercayai kewujudannya bukanlah suatu kepercayaan tahyul atau momokan masyarakat.

Tegasnya, kewujudan ciptaan Allah bernama jin sudah termaktub dalam al-Quran dan hadis. Menafikan kewujudannya boleh membawa erti seolah-olah kita menafikan kehebatan Allah mencipta hamba-Nya.

Mempercayai kewujudan jin bukanlah suatu kepercayaan tahyul. Bahkan, tidak keterlaluan jika dikatakan cubaan menolak atau menafikan kewujudan jin boleh dikira menafikan kekuasaan dan kehebatan Allah kerana kewujudan mereka disahkan dalil al-Quran dan hadis.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.” (Surah al-Dzariyaat, ayat 56)

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Maka janganlah kamu beristinjak dengan tulang dan tahi binatang. Sebab hal itu adalah bekal (makanan) saudaramu daripada kalangan jin.” (Hadis riwayat Tarmizi)

Allah mencipta Adam dan keturunannya iaitu manusia daripada tanah. Malaikat pula diciptakan Allah daripada nur (cahaya). Berlainan pula keadaan penciptaan jin, ia tidak dicipta daripada tanah mahupun nur. Ia juga bukan berasal daripada Adam dan Hawa.

Asal usul jin daripada jin bernama Jaan. Jaan beriman kepada Allah dan melahirkan keturunan beriman. Ada pula daripada keturunan Jaan yang kufur dan melahirkan pula keturunan kufur.

Anak cucu Jaan yang beriman itu ada yang kekal dalam iman, ada pula kufur dan ada yang kembali beriman kepada Allah. Dalam erti kata lain, Jaan ialah bapa segala jin seperti Adam ialah bapa segala manusia.

Jaan ialah jin yang pertama, dicipta dan dijadikan daripada lidah api. Keturunan jin yang seterusnya pula dijadikan dan berkembang-biak daripadanya sama seperti halnya Adam dan keturunannya iaitu manusia. Seperti manusia, jin juga daripada pelbagai bangsa dan jenis.

Mereka juga mempunyai jajahan pemerintahan dan kerajaannya tersendiri. Jin juga seperti manusia inginkan keturunan dan hidup berpuak-puak. Puak dan kumpulan jin terlalu banyak dan bercakap pelbagai loghat serta bahasa. Jin juga diperintahkan Allah untuk menerima syariat Islam seperti diperintahkan kepada manusia.

Majoriti bangsa jin daripada golongan jin kafir. Jin kafir ini kebanyakannya beragama Yahudi, Kristian, komunis dan sangat sedikit beragama Buddha dan Majusi. Ada juga jin tidak beragama. Golongan jin yang memeluk Islam sedikit bilangannya dan daripada golongan minoriti jika dibandingkan dengan keseluruhan bilangan jin.

Hanya Allah dan Rasul-Nya mengetahui rupa bentuk asal jin selepas dicipta dan ditiupkan roh. Menurut sesetengah ulama, rupa, tabiat, kelakuan dan perangai jin 90 peratus mirip kepada manusia.

Jin juga diberi keizinan oleh Allah untuk menzahirkan diri dalam pelbagai bentuk dan rupa disukai serta dikehendakinya kecuali rupa Rasulullah SAW. Rupa dizahirkan pula mengikut tahap dan kemampuan masing-masing. Pada asasnya rupa bentuk jin tidak banyak berbeza daripada manusia, iaitu mereka mempunyai jantina, mempunyai hidung mata, tangan, kaki, telinga dan sebagainya.

Pada dasarnya 80 hingga 90 peratus jin menyerupai manusia. Perbezaan ketara adalah sudut fizikal. Jin lebih kecil dan halus daripada manusia. Bentuk tubuh mereka itu ada yang pendek, terlalu tinggi dan mempunyai pelbagai warna seperti putih, merah biru dan hitam.

Menurut sesetengah pendapat, ketinggian jin kira-kira tiga hasta saja. Dalam al-Quran, Allah berfirman setiap yang berjiwa pasti akan merasai mati. Dalam konteks ini, jin juga merasai kematian.

Usia jin mencecah ribuan tahun. Ini kerana mereka bertubuh halus dan tidak terdedah kepada penyakit sakit jantung, kencing manis dan sebagainya seperti manusia.

Biarpun usia jin menjangkau ribuan tahun, mereka tetap merasai kematian. Satu-satunya jin yang tidak akan merasai kematian melainkan apabila datangnya kiamat ialah Iblis laknatullah. Ia berdasarkan permintaannya kepada Allah supaya dipanjangkan umur sampai kiamat untuk menyesatkan anak Adam.

Kecepatan jin bergerak melebihi gerak cahaya dalam satu saat. Disebabkan jin adalah daripada makhluk seni dan tersembunyi, tidak zahir seperti manusia dan tidak sepenuhnya ghaib seperti malaikat, maka ruang kecil pun boleh di duduki berjuta-juta jin dan ia juga boleh memasuki dan menghuni tubuh badan manusia.

Alam kediaman jin di lautan, daratan, udara dan alam Mithal iaitu suatu alam antara alam manusia dan alam malaikat. Makanannya pula berasaskan asap, gas, haruman dan ada juga buah-buahan bersesuaian dengan penciptaan mereka. Makanan jin juga daripada tulang, manakala makanan haiwan ternakan mereka ialah bongkah najis binatang ternakan manusia.

Manusia mengandung sembilan bulan untuk melahirkan zuriat dan anak manusia juga perlu masa lama untuk matang serta menjadi baligh. Berbeza dengan jin, apabila disentuh alat kelamin lelaki dengan alat kelamin perempuan, jin perempuan terus mengandung, beranak dan anak baru lahir itu terus mukallaf.

Alam jin itu satu daripada kebesaran dan keagungan Allah. Cubaan menafikan kewujudan jin dan alamnya boleh membawa kepada menafikan kekuasaan Allah.

Banyak lagi pendedahan alam jin perlu diketengahkan untuk dijadikan garis panduan kasar mengenai jin serta memberi kesedaran pentingnya Muslim menjaga akidah, menjauhi syirik dan mengelakkan diri terjerumus dengan tipu daya jin yang ingkar terhadap Allah.

Penulis ialah pensyarah Bahagian Falsafah dan Tamadun Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia

Sumber Asal: www.bharian.com.my

Sumber Kedua: http://akrine.blogspot.com/2009/04/jin-bukan-perkara-ghaib.html

No comments:

Guided Ways

Search in Quran
Search in Quran:
in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code
Powered by www.GuidedWays.com

Looking for Ways of Life

Search in Hadith
Search: in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code
Powered by www.GuidedWays.com