Sunday, March 22, 2009

Takut? Jenayah? Hudud?

Assalamualaikum Ini la artikel yang saya telah janjikan dalam artikel Terkejut!? untuk disiarkan dalam blog saya. Artikel ini ada berkaitan dengan hukum hudud dan inilah salah satu sebab kenapa hukum hudud perlu dilaksanakan. Saya ingin mengucap ribuan terima kasih kepada Ustaz Hasrizal yang tidak pernah kenal erti lelah dalam menulis artikel dakwah untuk menyedarkan dan memberi ilmu kepada umat Islam. Semoga jasamu dibalas Allah SWT, Amin. Artikel ini telah diambil dari laman web Saifulislam.com dari http://saifulislam.com/?p=4870

Takut Yang Sudah Lama Tercabut

Posted By Abu Saif On 11/03/2009 @ 10:12 am In Cabaran Islam

“Kamu tahu tak kalau kamu terbabas, patah riuk tulang tu? Kamu nak ke lumpuh sampai mati menyusahkan aku menjaga kamu? Kecil-kecil kamu berak dalam lampin, dah besar pun aku nak basuh berak kamu!” bebel Mak Jah kepada anaknya Din yang gila merempit.

Si anak membatu.

Sebelum Mak Jah memanjangkan lagi leternya, Din bingkas bangun, menyambar topi keledar tanpa tanda SIRIM itu dan terus memecut keluar. Membiarkan Mak Jah menggelengkan kepala dalam linangan air mata. Anaknya tidak takut mati.

“Rokok boleh membunuh!” jelas terpampang di kotak rokok.

Elin yang perempuan itu, tidak langsung tersentuh dengan nasihat berkenaan. Lagak seorang anggota pasukan berani mati, perkataan bunuh dan mati bagai tidak punya sebarang makna. Semangat tidak takut mati yang sepatutnya disalurkan ke jalan pembebasan umat Islam di Palestin!

TAKUT YANG MENYELAMATKAN

“Cicak, cicak!” gertak seorang ibu, menakut-nakutkan anak kecilnya daripada bermain di dapur sendirian.

Si anak kelam kabut lari kerana takutkan cicak itu tadi. Takut yang dilahirkan melalui imej cicak itu tadi tujuannya adalah untuk menyelamatkan si anak daripada benda-benda yang merbahaya di dapur.

Si anak yang masih belum faham, begitu ‘berani’ memegang cerek panas. Akibat tiada takut, dirinya tercedera. Lalu berkembanglah akal manusia seiring dengan pertambahan usianya agar ketakutan itu bertindak mencegah dirinya daripada terdedah kepada bahaya.

Takut itu menyelamatkan.

Tetapi manusia hari ini hilang rasa takut. Jika rancangan Fear Factor, pesertanya diuji tahap keberanian masing-masing. Lebih berani seseorang itu terhadap benda-benda yang lazimnya ditakuti manusia umum, lebih pahlawan dirinya di mata hakim dan penonton yang menyaksikan.

Era ini, takut cuba dibunuh daripada jiwa manusia. Bukan untuk berani berjuang. Tetapi berani yang tidak tentu arah.

Bukan sahaja ketakutan itu hilang daripada jiwa penghisap rokok atau mat rempit, takut sudah tidak punya apa-apa erti dalam hampir keseluruhan aspek kehidupan semasa. Lebih membimbangkan, rasa takut itu sudah tercabut dari jiwa para penjenayah. Bermula daripada kesalahan kecil meletak kereta sesuka hati di kiri kanan jalan, hinggalah kepada kejadian ragut, rompak, rogol, bunuh dan dadah, sudah tidak ada hukuman yang boleh bertindak menghalang manusia daripada melakukannya.

500years

“Dihukum penjara 500 tahun!” terpampang berita di dada akhbar.

Mati hidup balik, mati hidup balik, mati hidup balik, masih belum terbebas dari hukuman penjara yang ekstrim itu. Namun bisakah hukuman itu mencegah penjenayah seks dari terus bermaharajalela?

Tidak…

Rasa takut itu sudah tiada.

Di sebuah negara yang kadar jenayahnya amat menggerunkan seperti Amerika Syarikat, hukuman ganas yang amat kejam seperti kerusi elektrik sudah lama diperkenalkan. Bayangkan sahaja seorang penjenayah diikat di sebuah kerusi kayu, tenaga elektrik arus tinggi disalurkan ke seluruh tubuhnya hingga memancut darah keluar dari sana dan sini, mati dengan penyeksaan yang tidak tertanggung oleh mata yang melihat dan fikiran yang membayangkannya.

electricchair

source [1]

Namun, bisakah kekejaman itu mencegah jenayah dan mengurangkan kadar ketakutan masyarakat akibat perbuatan melanggar undang-undang? Jauh sekali! Malah Amerika Syarikat terus menjadi negara paling gila dalam konteks melahirkan pembunuh bersiri dan jenayah-jenayah paranormal yang lain. Seratus orang pemberontak dihukum tembak di khalayak ramai, seribu pemberontak datang menggantikan. Biar terjelir lidah menggelepar menuju kematian oleh pengedar dadah di tali gantung, kadar jenayah tidak pernah berkurang.

Apa sahaja gertakan dan hukuman, seakan-akan manusia sudah tidak mampu untuk menggeruninya.

Kecuali HUDUD!

Belum lagi terlaksana, baru sahaja dimanifestokan perlaksanakannya, seluruh alam menjadi kecoh. Pelbagai komen paranoid terbit dari mulut semua lapisan masyarakat. Yang cerdik menjadi bodoh, yang jahat menjadi hangat. Lalu keluarlah kenyataan-kenyataan yang menggambarkan kekecohan dan ketakutkan itu.

“Makan sup tangan???” kata si bijak pandai.

“Habislah jalan tak cukup batu, habis terguna merejam penzina!” bidas si ilmuan.

“Nanti non Muslim memberontak!” tegas seorang ahli politik.

Seribu satu reaksi ditunjukkan, untuk membantah usaha melaksanakan kanun jenayah Islam itu. Sedangkan segala alternatif yang ada, tidak sedikit pun mencegah penjenayah dari terus menerus melakukan fasad. Mereka mencuba pelbagai wasilah untuk mencegah jenayah sedangkan CEGAHAN hanya bisa datang dari Allah.

5_38

“Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu cegahan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” [al-Ma'edah 5: 38]

Takut itu adalah perasaan hati.

Hati itu milik Allah.

Allah jua yang mencampakkan rasa gerun di hati manusia yang dikehendaki-Nya. Dan kehendak Allah itu hanya dapat diraih apabila formula dan acuan (sibghah) Allah diguna pakai. Sesungguhnya unsur nakaalan minaLlaah itulah yang tidak wujud di dalam hukum hakam yang lain. Biar sekejam kerusi elektrik, biar sejelek gantung sampai mati, biar sengeri tembak di khalayak ramai, ia tidak mampu menghasilkan nilai cegahan kerana cegahan itu adalah urusan Allah.

Cegahan inilah yang bisa mencegah manusia dari menjamah jenayah. Ketakutan yang dicampakkan Allah ke dalam hati manusia, bertujuan untuk mencegah dirinya, dan manusia lain daripada kerosakan yang membinasakan.

Ia bukan sekadar ketakutan yang mencegah pencuri telur ayam, tetapi juga para bangsawan yang seleranya sebesar perbendaharaan negara. Rasa gerun untuk mengekang manusia berpangkat tinggi dari bermaharajalela menyelewengkan harta rakyat.

Cegahan inilah yang bisa menghentikan kegiatan menjual beli undang-undang. Sebuah negara di sepanjang sejarah ketamadunan manusia, tidak pernah musnah kerana miskin harta dan pembangunan. Tetapi keseluruhan hidup manusia menyaksikan negara segagah empayar Rom dan Parsi, Utara dan Selatan, Timur dan Barat musnah apabila manusia tidak lagi mampu dicegah dari kejahatan. Apatah lagi kezaliman bangsawan dipejamkan mata dan kesalahan si miskin diheret sepuasnya.

saraqasyarif

“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya umat sebelum kamu binasa kerana tatkala si bangsawan mencuri, mereka membiarkannya. Sedangkan apabila si lemah mencuri, mereka mengenakan hukuman hudud ke atas. Demi Allah, kalaulah Fatimah binti Muhammad itu mencuri, nescaya akan kupotong tangannya” [Hadith Muttafaq 'alayh]

Inilah pakej berupa ancaman dari Allah dan Rasul buat sekalian pencuri dan penjenayah, baik dia itu rakyat biasa yang mencuri besi di rumah jiran, mahu pun bangsawan yang merompak perbendaharaan negara untuk kepentingan hawa nafsu mereka.

Apa sahaja ancaman lain, tidak bisa menimbulkan rasa gerun dan takut di hati penjenayah. Walaupun manusia sudah begitu moden, ketakutan mereka masih ortodoks… menggeruni apa yang digeruni oleh manusia zaman berzaman.

Hanya hukuman Allah yang mampu menggerunkan HATI… tempat jatuh pandangan Allah.

63_7

“…Namun orang-orang Munafiq itu tidak mengerti” [al-Munafiqoon 63: 7]

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang

© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2008)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

No comments:

Guided Ways

Search in Quran
Search in Quran:
in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code
Powered by www.GuidedWays.com

Looking for Ways of Life

Search in Hadith
Search: in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code
Powered by www.GuidedWays.com