Monday, October 12, 2009

Tingkat-tingkat Nafsu Manusia

SETIAP orang mempunyai nafsu. Ia adalah kurniaan Allah yang bersifat fitrah sebagai pelengkap kepada unsur kemanusiaan di samping akal.

Dengan nafsu kita dapat makan dan minum, melakukan itu dan ini memakmurkan bumi, malah beranak pinak. Sebab itu, jika manusia tiada nafsu untuk makan, ini menunjukkan petanda buruk.

Cuma yang berbeza ialah tingkatan nafsu pada diri seseorang. Sesetengah dapat mengawal nafsu, manakala yang lain terikut-ikut telunjuk hawa nafsu, malah kerap terbabas kerana gagal mengawal nafsu.

Dalam Islam, nafsu terbahagi kepada beberapa tahap, iaitu nafsu ammarah, nafsu lawwamah, nafsu mulhimah, nafsu muthmainnah, radiah dan mardhiah.

* Nafsu ammarah – Nama ini diambil daripada ayat al-Quran yang menceritakan mengenai pengakuan Zulaikha (Imratulaziz) atas kesalahan dan kesediaannya membuat pengakuan yang Yusuf bersih daripada sebarang keburukan dan kesalahan.

Ia adalah nama bagi nafsu di tahap paling rendah. Diri di tahap ini disifatkan al-Quran sebagai yang menyuruh kepada keburukan dan kejahatan. Jika melakukan kebaikan sekalipun hanya sebagai topeng untuk kejahatan.

Maksudnya diri manusia dikuasai sepenuhnya oleh unsur kejahatan sehingga manusia menjadi hamba nafsu, bahkan menjadikan nafsu sebagai Tuhan yang ditaati.

Manusia yang memiliki akhlak serendah ini nilai baik dan buruk tidak bermakna dan tidak penting.

Cuma yang penting baginya ialah yang dapat memenuhi kehendak nafsunya saja. Manusia yang sedemikian akan mendabik dada, kerana berbangga dengan kejahatan yang dilakukan.

Diri dalam peringkat terendah inilah yang diistilahkan oleh ahli kerohanian Islam sebagai ‘nafsu’.

Nafsu ammarah ini mengandungi sifat hina dan tercela, sifat kehaiwanan, syaitan dan bangga diri yang hanya layak bagi Tuhan, seperti sifat takbur, memperhambakan manusia, suka disanjung dan dipuja.

Sifat yang nyata pada diri di tahap ini ialah sentiasa bergelora dengan seribu satu macam keinginan nafsu, sesuai dengan sifat semula jadi nafsu rendahnya seperti terburu nafsu, lalai, tamak dan jahil.

Malah untuk menunaikan keinginan yang sentiasa bergelora tanpa puas manusia akan menjadi alat dan hamba nafsu menyebabkan mereka dalam sentiasa dalam keadaan sengsara.

Al-Quran mengumpamakan seperti seekor anjing yang termengah-mengah dan terjelir lidahnya kerana kepenatan.

“Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan ayat-ayat itu. Tetapi ia cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing; jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah.

“Dan jika engkau membiarkannya ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir.” (Al-A’raaf: 176)

Diri yang berada pada tahap ini sebenarnya menerima ujian. Diuji dengan sifat rendah dan buruk.

Tetapi manusia juga disediakan daya kemampuan untuk menentang, melawan, mengengkang dan mengawal daripada menurut nafsu rendahnya itu.

Manusia diuji dengan sifat terbabit bukanlah diminta supaya menuruti keinginan nafsu yang tidak ada batas kepuasannya tetapi untuk menghalang, mendidik dan memandunya sehingga mengenali diri, tabiat dan kelemahannya.

Dengan itu akhirnya diri mengenali Tuhan dan mentaati petunjuk-Nya dalam usaha mengatasi kelemahan supaya mereka benar-benar menjadi hamba dan mengabdikan kepada Allah saja.

Hanya dengan usaha terbabit nafsu di tahap ini akan dapat meningkat maju ke peringkat yang lebih tenang.

Nafsu ammarah merupakan tangga paling rendah yang mengakibatkan diri selalu diselubungi keburukan dan maksiat.

Di tangga kedua ialah nafsu lawwamah, kemudian diikuti tahap lebih baik nafsu mulhimah, muthmainnah dan nafsu radiah serta mardiyah.

# Nafsu lawwamah – Nama ini diambil daripada al-Quran, sebagaimana pada ayat 2 dari surah al-Qiyamah, maksudnya: “Dan aku bersumpah dengan an-nafsul-lawwaamah (bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati).”

Diri pada tahap ini meningkat sedikit, berbanding diri yang dikuasai nafsu ammarah.

Jika pada tahap nafsu ammarah diri tidak terkilan dengan kesalahan dilakukan, bahkan megah dengan dosa, tetapi pada tahap ini diri kesal atas keterlanjuran dan kekurangannya menunaikan kewajipan.

Di dalam diri terasa seperti ada sesuatu yang mencelanya. Tetapi dengan adanya suara celaan dari dalam diri itu menunjukkan ia masih hidup. Walaupun berpenyakit masih belum parah.

# Nafsu mulhimah – Sesetengah ulama tidak memasukkan tahap ini dalam peringkat sifat yang dilalui diri manusia. Tetapi ramai juga dari kalangan ulama terutama ahli sufi yang memasukkan peringkat ini seperti diisyaratkan al-Quran, maksudnya: “Serta mengilhamkannya jalan yang membawanya kepada kejahatan dan ketakwaan.” (as-Syams:8)

Nas terbabit pada amnya menjelaskan manusia boleh menerima suatu saranan di dalam dirinya sama ada berunsur kejahatan atau kebaikan. Ini juga menunjukkan diri seseorang sentiasa diilhamkan dua unsur; kejahatan dan kebaikan.

Berdasarkan nas dan sejarah hidup manusia sepanjang zaman membuktikan di dalam diri manusia ada satu daripada dua unsur itu, seperti suatu alat yang dapat mengesan gelombang suara dari alam ghaib.

Fenomena ini adalah realiti yang diakui tanpa diragui. Dalam bidang ilmu, fenomena ini dikaji ahli psikologi.

Pelbagai pendapat dan istilah dikemukakan, namun semua kajian menyakini fenomena terbabit sekalipun berbeza dari segi penafsirannya.

# Nafsu muthmainnah – Nafsu di tahap ini lebih sempurna, dari sudut usaha menyucikan (tazkiyah) dan melakukan jihad (mujahadah) terhadap nafsunya.

Hasil dari jihad nafsu yang tabiatnya sentiasa bergelora dan membara tanpa ada batas kepuasan, berpandukan syariat Allah dan jauh daripada maksiat, zahir dan batin, menjadikan diri mencapai ketenangan.

Peringkat ini tidak dapat dirasakan melainkan selepas diri merasakan damai terhadap hukum Allah dan manhajnya, ketentuan qada dan qadar (takdir), mengingati Allah dan khusyuk dalam ibadat.

Malah, diri tenang menghayati konsep kehambaan diri kepada Allah, sentiasa kembali kepada Allah dan hatinya pula sejahtera daripada segala penyakit.

Diri dalam peringkat ini akan mudah terasa dengan kesalahan dan dosa manakala ukuran dan timbangan terhadap sesuatu amal kebaikan semakin cermat.

Kedamaiannya dinikmati oleh diri dan oleh orang sekelilingnya, bahkan kadangkala menjadi penaung kepada mereka yang diburu kerisauan dan keresahan hidup.

Diri di peringkat inilah yang mendapat panggilan Ilahi sebagai hamba-Ku (ibadi) dan tentunya akan mendapat ganjaran syurga.

# Nafsu radiyah – Diri di tahap ini dapat mendiamkan syaitan dari dalam dirinya. Allah menurunkan ketenangan ke dalam hatinya.

Diri akan menghayati sifat reda dan menjadi maqamnya (tahap kedudukan), namun diri ini masih bimbang dan berasa belum diterima Allah.

# Nafsu mardiyah – Diri di tahap ini diredai Allah. Diri yang mencapai peringkat ini akan dapat merasakan maqamnya (tahap kedudukan) diterima Allah.

Tetapi rasaan ini bukanlah suatu yang dibuat-buat dan sekadar satu dakwaan sedangkan sebenarnya tidak ada pada batin dirinya.

Rasaan itu adalah pemberian Allah sebagai ‘busyra’ (khabar gembira) dari Allah kepada hamba-Nya yang diredai ketika mereka masih lagi hidup di dunia.

Istilah pada diri di tahap ini diilhamkan dari al-Quran. Tahap ini yang dihayati serta dilaksanakan dengan penuh kesungguhan dan keazaman oleh tokoh kerohanian Islam seperti ahli sufi.

Bagi kita yang bukan ahlinya dan tidak menempuhinya, selayaknya kita menerimanya selaras dengan anjuran al-Quran.

“Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu melainkan orang lelaki yang Kami wahikan kepada mereka; maka bertanyalah kamu kepada ahlu’dz-dzikri jika kamu tidak mengetahui.” (al-Anbiyaa’:7)

sumber http://www.hmetro.com.my

No comments:

Guided Ways

Search in Quran
Search in Quran:
in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code
Powered by www.GuidedWays.com

Looking for Ways of Life

Search in Hadith
Search: in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code
Powered by www.GuidedWays.com