Saturday, April 25, 2009

Persoalan!?

Dua artikel yang perlu direnungkan!

Artikel Pertama;

Anak ikut agama asal ibu bapa

Oleh Nor Azma Laila
norazma@bharian.com.my

Pertukaran agama bukan alasan lepas diri daripada perkahwinan

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan kanak-kanak mesti kekal menganut agama asal ketika ibu bapanya berkahwin walaupun selepas salah seorang pasangan itu menukar agama. 

Keputusan itu, yang dibuat dalam mesyuarat Kabinet kelmarin, adalah langkah penyelesaian jangka panjang berhubung isu pertikaian status agama kanak-kanak berkenaan apabila ibu atau bapa mereka menukar agama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Nazri Aziz, berkata Kabinet membuat keputusan itu bagi mengelak individu yang tidak bersalah,

terutama anak-anak, menjadi mangsa dan dilayan dengan tidak adil. 

"Anak perlu dibesarkan mengikut agama asal ibu bapa mereka. Bagi pasangan yang bercadang menukar agama, mereka sepatutnya menyelesaikan terlebih dulu semua masalah berkaitan tanggungjawabnya. "Penukaran agama tidak boleh dijadikan alasan untuk membubarkan sesuatu perkahwinan secara automatik atau untuk mendapatkan hak penjagaan terhadap anak-anak," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, semalam.


Beliau merujuk kes Mohd Ridzuan Abdullah atau K Patmanathan, 40, bekas penganut Hindu, yang kini memeluk Islam. 

Mohd Ridzuan dilaporkan turut menukar agama anaknya, Tevi Darsiny, 12, Karan Dinesh, 11, dan Prasana Diksa, setahun, serta memohon hak penjagaan terhadap tiga anaknya itu di Mahkamah Syariah walaupun ibu mereka, Indra Ghandhi, 35, masih beragama Hindu. 

Berikutan itu, Indra meminta bantuan Hindu Sangam di Ipoh kerana mendakwa Mohd Ridzuan menukar agama tiga anak mereka tanpa kehadiran dan memaklumkannya terlebih dulu. 

Nazri berkata, lebih banyak kes seumpamanya dijangka muncul pada masa akan datang dan kerana itu Kabinet terpaksa membuat keputusan.

Sebagai penyelesaian jangka pendek, katanya, Kabinet mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, menemui Mohd Ridzuan bagi menjelaskan keputusan jemaah Menteri itu. 

"Kabinet juga membuat keputusan sekiranya sesuatu perkahwinan didaftarkan di Mahkamah Sivil, maka ia hanya boleh dibubarkan mengikut undang-undang sivil. 

"Jangan jadikan agama, contohnya Islam, sebagai alat untuk melepaskan diri daripada perkahwinan kerana perbuatan seperti ini akan mencemarkan nama agama itu," katanya. 

Beliau berkata, Kabinet turut bersetuju bahawa tarikh penguatkuasaan undang-undang Islam terhadap seseorang mualaf ialah tarikh dia memeluk agama itu. 

Bagi menguatkuasakan keputusan itu, Pejabat Peguam Negara akan diminta meneliti semua undang-undang berkaitan yang perlu dipinda, tetapi tidak termasuk undang-undang syariah, yang terletak di bawah bidang kuasa Sultan. 

Nazri berkata, kerajaan juga bersedia mendengar sebarang pandangan masyarakat mengenai keputusan berkenaan bagi kebaikan semua pihak.


Artikel Kedua;

Anak ikut agama asal ibu bapa bercanggah syarak

Oleh Nor Azma Laila dan Haspaizi Mohd Zain
bhnews@bharian.com.my



Mufti minta kerajaan tarik balik keputusan elak kekeliruan

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan bahawa kanak-kanak mesti kekal menganut agama asal ketika ibu bapanya berkahwin walaupun selepas seorang daripada pasangan itu menukar agama, bercanggah dengan hukum syarak, kata beberapa mufti semalam. 

Sehubungan itu, mereka meminta kerajaan menarik balik keputusan itu bagi mengelak kekeliruan, terutama di kalangan umat Islam.



Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, berkata dalam Islam, mana-mana bapa atau ibu menganut Islam, anak mereka dengan sendirinya beragama Islam kecuali yang sudah berumur lebih 15 tahun boleh memilih agamanya sendiri. 

"Soal Islam tidak boleh dipermainkan, begitu juga dalam masalah hukum tidak boleh dibincang atau dipinda sewenang-wenangnya, sebaliknya perlu mendapat pandangan ulama, mufti dan pakar agama supaya tidak timbul kekeliruan," katanya ketika dihubungi, semalam. 

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, berkata Kabinet membuat keputusan itu sebagai langkah penyelesaian jangka panjang berhubung isu pertikaian status agama kanak-kanak apabila ibu atau bapa mereka menukar agama.

Keputusan itu dibuat berikutan kes bekas penganut Hindu yang kini memeluk Islam, Mohd Ridzuan Abdullah, 40, menukar agama tiga anaknya kepada Islam, walaupun ibu mereka masih beragama Hindu. 

Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut, pula menegaskan, bapa lebih berhak dan anak-anak mesti mengikut agama yang dianuti bapa.

"Apabila baligh mereka boleh menentukan agama yang ingin dianutinya, sama ada kekal dalam Islam atau sebaliknya. 

"Bagi saya kes ini membabitkan masalah manusia, bukannya hukum. Walaupun anak itu memeluk agama lain, hubungan mereka dengan ibunya tidak akan putus. Dalam Islam adalah haram sekiranya memutuskan hubungan persaudaraan, walaupun berlainan agama," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie, Mohamad Isa Abd Rolip, berkata sebarang perubahan yang ingin dibuat perlu mengambil kira undang-undang sedia ada serta pandangan semua pihak supaya tidak menimbulkan kebimbangan masyarakat Islam. 

"Keputusan itu seolah-olah satu dasar atau undang-undang baru yang perlu diikut, sekali gus menimbulkan kerisauan di kalangan umat Islam terutama saudara baru," katanya. 

Setiausaha Agung, Yayasan Maklumat dan Perkhidmatan Islam, Sabariah Abdullah, berkata sebarang keputusan atau kenyataan berkaitan isu pindaan atau perubahan dalam hukum Islam tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya. 

Peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi, Ikbal Salam, pula menyarankan bahagian khas syariah yang menguruskan isu penentuan hak jagaan anak-anak yang mana ibu atau bapanya memeluk Islam perlu ditubuhkan di Mahkamah Sivil. 

"Mahkamah Sivil juga perlu diberi kuasa menguruskan kes sebegini dengan melantik hakim yang terlatih dalam bidang sivil dan syariah bagi mengetuai bahagian khas itu supaya kepentingan pasangan yang memeluk Islam juga terbela," katanya.

Sumber : www.bharian.com.my

Mengapakah perkara begini boleh berlaku? Adakah mereka tidak tahu tentang hukum? Sekiranya tidak tahu, mengapa tidak bertanya pada yang lebih mengetahuinya? Adakah orang yang lebih mengetahuinya disisihkan? Ini hanyalah sekadar pendapat saya yang daif dalam ilmu. Sesungguhnya Yang Terbaik Datang Dari Allah SWT, Yang Buruk Datang Dari Kedaifan Manusia itu. 

Sekadar renungan;

Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
(Surah Al-Baqarah: Ayat 2)

..... dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.
(Surah Al-Nahl: Ayat 89)

No comments:

Guided Ways

Search in Quran
Search in Quran:
in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code
Powered by www.GuidedWays.com

Looking for Ways of Life

Search in Hadith
Search: in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code
Powered by www.GuidedWays.com