Saturday, February 28, 2009

Khutbah Jumaat Dari JAKIM

AL-QURAN MELAHIRKAN UMAT CEMERLANG

( 28 September 2006 / 16 Ramadhan 1428 H )


اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ ضَاعَفَ الأُجُوْرَ بِتِلاَوَةِ اْلقُرْاءَنِ وَأَسْعَدَ مَنْ فِيْ اْلقُبُوْرِ بِقِرَاءَةِ اْلقُرْاءَنِ وَأَسْكَنَ صُدُوْرَ الْمُؤْمِنِيْنَ بِتِلاَوَةِ القُرْاءَنِ وَيُشْفِعُ يَوْمَ الْحَشْرِ مَنْ قَرَاءَ اْلقُرْاءَنَ.

أَشْهَدُ اَنْ لآ ِإلَـهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلـِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.


Muslimim yang dirahmati Allah,


Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan, marilah kita sama-sama tingkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT, dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Sesungguhnya kebahagiaan di dunia dan kesejahteraan di akhirat hanyalah ditentukan oleh iman dan takwa setiap individu Muslim itu sendiri.


Bersempena bulan Ramadan yang mulia ini, kita seharusnya bersyukur ke hadrat Allah SWT yang memanjangkan usia kita semua sehingga ke saat ini dan dapat pula meneruskan ibadah puasa Ramadan di hari yang ke enam belas dalam keadaan sehat dan tanpa sebarang keuzuran.


Hadirin Sidang Jumaat Yang Dimuliakan,


Pada Jumaat yang lalu, mimbar ini telah membicarakan tentang kelebihan Ramadan sebagai bulan memerangi hawa nafsu dan peningkatan kualiti ibadah. maka pada hari ini, mimbar Jumaat akan membicarakan tajuk: "Al-Quran Melahirkan Umat Cemerlang". Bersempena nuzul Al-Quran yang Insyaallah akan kita sambut esok sebagai pemangkin ke arah melahirkan ummah yang cemerlang.


Al-Quran adalah kalam Allah yang diturunkan melalui malaikat Jibril AS kepada junjungan Nabi Muhammad SAW, sejak lebih 1400 tahun yang lalu sebagai petunjuk dan pedoman bagi manusia, khususnya umat Islam dalam mengatur kehidupan. Perkara ini dapat dilihat dengan jelas melalui firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang berbunyi:



Maksudnya: "(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah".


Berdasarkan ayat tersebut, telah dibuktikan dalam sejarah bahawa sejak Al-Quran diturunkan ia telah berjaya mengubah sejarah manusia yang dikenali sebagai umat jahiliyah yang hidup tanpa sebarang peraturan dan sistem akhlak sehingga menjadi umat yang terbaik dan dicontohi dalam segala bidang.


Hal ini telah dibuktikan sendiri oleh Rasulullah SAW selama 23 tahun Baginda memimpin umat Islam berpandukan Al-Quran. Ajaran Al-Quran amat bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia, bukan sahaja mampu membangun kekuatan rohani malah juga menggerakkan secara aktif kekuatan fizikal dan mental, sehingga umat Islam pada zaman kepimpinan Rasulullah SAW, zaman kepimpinan Khulafa’ ar-Rasyidin dan sesudahnya berjaya mencipta satu tamadun kegemilangan yang merentasi zaman di mana Islam mampu memimpin hampir tiga perempat dunia.


Muslim Yang Berbahagia,


Kita sedia maklum bahawa tujuan utama Al-Quran diturunkan adalah untuk mengEsakan Allah SWT dan menjalani kehidupan mengekut landasan yang benar. Di samping itu, Al-Quran menganjurkan umatnya supaya menyuburkan nilai akhlak dalam kehidupan termasuklah nilai kasih sayang sesama manusia, hormat menghormati, toleransi, keadilan dan keamanan yang merupakan nilai-nilai sejagat serta sesuai dengan kehendak fitrah manusia itu sendiri.


Kerana itulah, kandungan Al-Quran mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia termasuklah kerohanian, akidah, akhlak, perundangan dan pelbagai panduan hidup untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Justeru, tuntutan memahami dan menghayati ayat-ayat Al-Quran dan membudayakan Al-Quran dalam kehidupan adalah kesuatu kewajipan yang tidak perlu dipertikaikan lagi kerana Al-Quran itu sendiri jelas mempunyai hubung kait dengan kehidupan manusia, sebagaimana Firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 9 yang berbunyi:



Maksudnya: "Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam) dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar".


Muslimin Yang Dimuliakan,


Selain meyakini bahawa Al-Quran merupakan kitab pedoman umat Islam yang perlu diterjemahkan melalui penghayatan dalam diri dengan nilai-nilai yang terkandung di dalamnya bagi melahirkan umat cemerlang dan terbilang, umat Islam juga dituntut untuk meyakini bahawa Al-Quran sebagai penawar segala penyakit samada bersifat dalaman mahupun luaran di samping menjadi tempat rujukan segala masalah yang dihadapi.


Tetapi sayangnya tidak semua yang mahu dan bersedia mengekut ajaran Al-Quran atau terdapat segelintir umat Islam yang masih tidak mahu beramal dengan Al-Quran, mereka hanya membaca Al-Quran tetapi tatalaku kehidupan seharian mereka bertentangan dengan ajaran Al-Quran, mereka mendengar Al-Quran, tetapi memekakkan telinga dengan tidak menghayati tuntutannya, mereka memahami isi kandungannya, tetapi tidak mahu melaksanakan ajarannya, mereka mengetahui kebenaran Al-Quran, tetapi mereka masih tidak takut untuk melanggar kebenaran tersebut bahkan sanggup memperkecilkan janji dan azab Allah SWT.


Justeru, disebabkan kegagalan segelintir umat Islam dalam menghayati dan menterjemahkan ajaran Al-Quran dalam kehidupan mereka secara tidak langsung telah menyumbang kekeliruan kepada penganut agama-agama lain terhadap Islam, malah lebih malang lagi kepada umat Islam itu sendiri. Kerana apabila mereka tidak mematuhi ajaran Al-Quran, mereka dengan sendirinya mengekut jejak langkah syaitan. Hal ini bertepatan dengan Firman Allah SWT yang berbunyi:



Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu."

(Surah al-Baqarah: 208)


Muslimin Yang Berbahagia,


Satu perkara lagi yang perlu dihayati kita semua penurunan Al-Quran sebenarnya telah memberi nilai tambah dan membina kualiti pembangunan modal insan melalui penghayatan Al-Quran, sekaligus akan meletakkan diri dalam golongan yang disebut sebagai اَلْمُحْسِنِيْن iaitu orang-orang yang suka melakukan kebaikan.


Di samping seruan supaya menghayati nilai-nilai yang terkandung dalam Al-Quran, terdapat seruan agar ayat-ayat Al-Quran dikaji dan diteliti kerana ia mampu menghasilkan ilmu pengetahuan bagi kehidupan manusia yang disebut sebagai "أولى الألباب". Dan ini telah dibuktikan oleh ilmuan-ilmuan Islam dalam mencipta dan menghasilkan penemuan-penemuan baru dalam bidang seperti ilmu falak atau astronomi, ilmu perubatan (Tib), ilmu kimia, ilmu hisab atau al-Jibra dan sebagainya. Begitu juga mereka mengkaji tumbuh-tumbuhan, mengkaji alam binatang, bahasa pertuturan, dan lain-lain lagi. Ilmuan-ilmuan seperti Ibnu Rusydi, Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, al-Khawarizmi, al-Kindi dan lain-lain adalah merupakan nama-nama besar dalam sejarah kecemerlangan umat Islam suatu ketika dahulu.


Namun kecemerlangan dan ketamadunan yang dipelopori oleh umat Islam dahulu hanya tinggal kenangan. Ianya tiada kesinambungan yang dapat diwarisi oleh umat Islam kini. Segala-galanya perlu dipelajari semula dari kemajuan dan kemodenan barat. Hal ini tidak dapat dinafikan lagi dan puncanya kerana kesilapan umat Islam itu sendiri kerana asyik bergelumang dengan konflik dan perbalahan sesama sendiri, hidup berpuak-puak, tidak ada semangat kesatuan dan akhirnya menjadikan umat Islam begitu lemah, hilang daya saing dan segala kekuatan, di mana akhirnya umat Islam dijajah.


Muslimin Yang Dirahmati Allah,


Kesimpulannya, hari ini kita sebagai umat Islam yang mendukung wawasan Al-Quran, bukan hanya setakat merayakan "Nuzul Al-Quran" dengan mengadakan ceramah, forum dan sebagainya. Tetapi kita seharusnya menyedari bahawa penurunan Al-Quran sebenarnya membawa dimensi baru dalam melahirkan ummah yang cemerlang seperti di masa lalu. Kecemerlangan itu telah terbukti dan dibuktikan oleh generasi lampau dan ianya bukan kesuatu yang mustahil untuk dirialisasikan pada hari ini.


Daripada contoh-contoh kecemerlangan umat Islam terdahulu, dapat kita mengambil pengajaran dan iktibar yang boleh diguna pakai untuk dilaksanakan di dalam kehidupan kita. Insyaallah kecemerlangan dan kegemilangan Islam akan lahir melalui penghayatan Al-Quran.


اَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ،


Maksudnya: "Alif Lam Ra, ini ialah kitab (Al-Quran) kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap gelita kepada cahaya imam dengan izin Allah Tuhan mereka ke jalan Allah yang Maha Kuasa Lagi Maha terpuji".

(Surah Ibrahim ayat: 1)


بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ الْقُرْءَانِ الْعَظِيْمِ، وَنَفَعَنِىْ وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ، وَالْمُؤْمِنِيْن وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَـا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.



No comments:

Guided Ways

Search in Quran
Search in Quran:
in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code
Powered by www.GuidedWays.com

Looking for Ways of Life

Search in Hadith
Search: in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code
Powered by www.GuidedWays.com