Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
20 Februari 2009M / 24 Safar 1430H
Perjuangan Dalam Memelihara Iman
Khutbah Jumaat
20 Februari 2009M / 24 Safar 1430H
Perjuangan Dalam Memelihara Iman
Marilah kita berusaha meningkatkan taqwa kepada Allah dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala yang dilarang. Marilah sama-sama kita tingkatkan usaha untuk menghasilkan kualiti iman yang semakin baik melalui ilmu dan kefahaman yang sebenar. Berdoalah kepada Allah agar kita diberikan kemudahan dan kesejahteraan dalam memelihara iman kita.
Sidang Jumaat Yang dimuliakan,
Iman merupakan nikmat Allah s.w.t. yang tidak ternilai dalam kehidupan manusia. Tinggi atau rendahnya martabat manusia di sisi Allah s.w.t. akan ditentukan oleh tahap keimanan. Allah berfirman di dalam al-Quran surah al-Hujurat ayat : 13
Ketaqwaan dan keyakinan yang teguh akan memberi kesan yang positif bagi kehidupan manusia, dalam soal amalan agama, mengawal tingkah laku, hubungan sesama manusia dan sebagainya.
Saudaraku yang dikasihi sekalian,
Marilah kita bertanya, sedalam manakah tahap iman kita di sisi Allah s.w.t? Adakah kita sudah termasuk di dalam golongan orang-orang yang benar beriman menurut erti kata yang sebenar?
Hidup kita di dunia ini dibekalkan misi dari Allah s.w.t agar menguruskan kehidupan ini dengan sesempurna mungkin. Banyak tugasan yang diberikan kepada manusia untuk menilai siapakah yang terbaik amalannya. Samada tugasan yang berbentuk ketaatan kepada Allah dan juga bakti kita kepada alam kehidupan ini.
Untuk mendapatkan keredaan Allah, kita perlu mentaati perintah-perintah-Nya. Diantara perintah-Nya ialah menggalakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Kita sudah bincangkan isu ini melalui mimbar ini. Persoalannya sekarang apakah tindakan kita selanjutnya? Adakah kita masih lagi berfikiran bahawa tanggungjawab amar makruf nahi mungkar ini tugas orang tertentu sahaja, seperti para ustaz dan ulama?
Saudaraku sekalian
Tugas mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah tanggungjawab kita bersama, tidak kira apa bidang kerjaya kita. Tugas ini juga adalah satu ibadah yang boleh meningkatkan iman kita. Ianya perlu dilakukan dalam skop yang kecil atau pun besar, secara individu atau berkumpulan. Ianya juga perlu dilakukan berdasarkan ilmu dan pendekatan yang berhikmah.
Sebagai permulaan, mungkin kita boleh membiasakan diri dengan mengucapkan salam, mengukir senyuman dan ziarah menziarahi sesama kita dalam proses mengajak kepada kebaikan. Dengan cara ini kita dapat sama-sama membudayakan makruf (kebaikan) dalam diri kita terlebih dahulu.
Dalam melihat perbuatan tidak baik, atau yang dikenali sebagai mungkar, kita harus berusaha nasihat-menasihati. Bayangkanlah jika kita mengambil sikap 'jangan jaga tepi kain orang' tetapi tidak kena pada tempatnya, apakah akan terjadi kelak dalam masyarakat kita?
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizhi, Nabi s.a.w bersabda,
Saudaraku yang dikasihi,
Hadith Rasulullah s.a.w. ini bertujuan agar seluruh masyarakat dapat membangun bersama menjadi masyarakat yang baik. Segala kebaikan semakin bertambah, dan segala kemungkaran dan perbuatan keji semakin berkurang. Marilah kita terus nasihat-menasihati di antara kita. Pastinya hati nurani orang yang beriman akan suka melihat saudaranya berbuat baik, dan tidak akan merestui saudaranya berbuat perbuatan dosa dan keji.
Dengan itu, mimbar hari ini sekali lagi mengajak saudara-saudara sekalian agar sama-sama kita bergandingan bahu dan berazam untuk menggalakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Kita juga perlu berdoa kepada Allah s.w.t agar diberikan keteguhan iman supaya dapat terus berpendirian tetap dalam urusan amar makruf nahi mungkar ini. Berbekalkan keyakinan dan tawakkal kepada Allah setelah berusaha, InsyaAllah satu perubahan yang positif bakal berlaku dan marilah kita mulakan mulai sekarang.
Khutbah ini telah diambil di http://www.muis.gov.sg/cms/downloads/khutbahs.aspx?LangType=1086
No comments:
Post a Comment