Khutbah Jumaat
13 Februari 2009 / 17 Safar 1430
Usaha & Tawakkal Di Dalam Menghadapi Cabaran
13 Februari 2009 / 17 Safar 1430
Usaha & Tawakkal Di Dalam Menghadapi Cabaran
Maasyiral Muslimin wa zumratal mukminin rahimakumullah,
Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan saudara-saudara sekelian, agar sentiasa bertaqwa kepada Allah s.w.t, kerana hanya dengan taqwa sahaja kita dapat meningkatkan keimanan kita kepada Allah subhanahu wa ta’ala. Firman Allah subhanahu wa ta’ala dalam Surah Ali Imran ayat 110:
Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan saudara-saudara sekelian, agar sentiasa bertaqwa kepada Allah s.w.t, kerana hanya dengan taqwa sahaja kita dapat meningkatkan keimanan kita kepada Allah subhanahu wa ta’ala. Firman Allah subhanahu wa ta’ala dalam Surah Ali Imran ayat 110:
Yang bermaksud: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).
Marilah kita menyempurnakan peranan kita sebagai umat Nabi Muhammad dengan beriman kepada Allah dengan sebenar-benar iman. Sesungguhnya dengan iman yang kukuh di hati, kita boleh mengecap ketenangan jiwa dan meletakkan sepenuh keyakinan kita kepada Allah subhanahu wa ta’ala. Firman Allah,
Yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.“ (Surah al-Taubah ayat 51)
Seperti yang diterangkan pada ayat di atas, segala yang menimpa kita adalah sebagaimana yang ditentukan oleh Allah ta’ala beserta dengan hikmah dan kekuatan yang boleh diraih di sebaliknya. Hendaklah kita sebagai seorang yang beriman kembali kepada Allah sebagai Pelindung yang Maha Agung dan bertawakkal kepadaNya.
Tawakkal tidak bermaksud berserah segalanya kepada Allah dan berpeluk tubuh tanpa berusaha atau mencuba dahulu untuk mencari penyelesaian. Tawakkal sebenar ialah sentiasa menyedari bahawa segala perkara dan kejadian adalah ditentukan oleh Allah ta’ala, dan sentiasa yakin dengan pemeliharaan dan penjagaan Allah terhadapnya.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Di tengah-tengah kegawatan ekonomi dan kemelut politik antarabangsa, ramai daripada kita yang kian bimbang terhadap pelbagai perkara. Tuntutan kehidupan yang semakin mencabar, pekerjaan yang tidak menentu, dan pendidikan anak-anak, menambahkan lagi kebimbangan terhadap masadepan kita dan keluarga.
Baru bulan lepas kita dikejutkan dengan berita pasangan di Amerika Syarikat yang membunuh diri mereka dan 5 anak-anak mereka kerana mereka dibuang kerja. Perasaan takut dan risau tentang sesuatu perkara yang tidak pasti seperti ini, banyak menganggu ketenangan dan menimbulkan tekanan pada seseorang. Dengan yang demikian, kita tidak dapat mengecap ketenangan jiwa.
Antara sebabnya ialah kita kurang mendalami atau meyakini prinsip bahawa segala sesuatu datang dan kembali kepada Allah subhanahu wa ta’ala. Jika kita memahami perkara ini, kita akan kurang tertekan jika kita kehilangan sesuatu, atau ditimpa perkara yang tidak diingini. Ini sesuai dengan maksud ayat 155-157 Surah al-Baqarah:
Yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar; (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.
Dengan mendalami erti daripada ayat-ayat yang disebut tadi, kita sebagai seorang Muslim yakin bahawa segala kepayahan atau kehilangan tidak bermakna bahawa kita telah gagal di dalam kehidupan. Apa yang perlu kita lakukan adalah bersabar, belajar daripada pengalaman untuk memperbaiki diri, dan bertawakkal kepada Allah ta’ala.
Pada masa yang sama, tawakkal sama sekali tidak bermakna kita serahkan segala-galanya kepada Allah di dalam semua perkara dan tidak berusaha. Adalah satu kesalahan jika seorang Muslim menggunakan tawakkal sebagai sebab untuk bermalas-malasan, tidak berusaha dan tidak mencari jalan penyelesaian bagi sesuatu keadaan. Bukanlah bertawakkal sekiranya kita berserah sebelum kita berusaha, tetapi kita bertawakkal setelah kita meletakkan usaha yang bersungguh-sungguh di dalam sesuatu perkara. Allah Subhanahu wa ta’ala telah menerangkan di dalam al-Quran bahawa perubahan dan kebaikan perlu datang daripada usaha diri sendiri:
Yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. (Surah al-Ra’d: 11)
Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya, seandainya kamu bertawakkal kepada Allah sebenar-benar tawakkal, nescaya kamu akan diberi rezki sebagaimana rezki burung-burung. Mereka keluar pada pagi hari dalam keadaan lapar, dan pulang pada petang hari dalam keadaan kenyang." (Riwayat Imam Ahmad, At-Tirmidzi, dan Ibnu Majah)
Hadith ini mengibaratkan golongan yang bertawakkal seperti burung-burung yang sentiasa keluar mencari rezki walaupun mereka tidak ada kepastian tentang rezki yang bakal mereka perolehi. Hasil usaha gigih yang mereka lakukan walaupun tanpa jaminan kejayaan, Allah subhanahu wa ta’ala Mencukupkan keperluan mereka.
Wahai saudaraku sekalian,
Marilah kita mengambil pengajaran daripada panduan yang diberikan oleh Nabi junjungan kita. Sepertimana burung-burung yang keluar daripada sarang sehari-hari mencari makanan, janganlah kita hentikan usaha kita di dalam mencari rezki dan mempertingkatkan diri sehari-hari. Tatkala kita dihadapkan dengan ujian kehilangan pekerjaan atau sumber rezki, teruskanlah usaha kita. Apabila kita mengalami kerugian atau kehilangan sesuatu yang diinginkan, tingkatkanlah azam kita untuk melipat-gandakan usaha. Kemudian, sandarkanlah harapan kita kepada Allah subhanahu wa ta’ala, dengan sebenar-benar tawakkal.
Khutbah ini telah diambil di http://www.muis.gov.sg/cms/downloads/khutbahs.aspx?LangType=1086
No comments:
Post a Comment